Wednesday, April 24, 2013

PETUA : SURAH TAHA (AYAT 1- 5) PELEMBUT HATI DAN PENDINDING DIRI

Surah Taha adalah surah yang ke 20, juzuk 16. Surah yang baik untuk melembut hati yang keras terutama sekali dibacakan kepada ahli keluarga yang keras hati, malas dan degil untuk beribadat kepada Allah SWT. Boleh diamalkan sebagai ayat pendinding diri. Ayat 1 hingga 5 yang dibaca oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a yang pada masa dan ketika itu belum lagi memeluk Agama Islam, tersentuh hatinya dan beliau terus memeluk agama Islam pada hari itu juga dihadapan Nabi Muhammad SAW.

Beliau seorang yang berani semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman. Sifat berani dan garang sehingga iblis atau syaitan pun tidak berani melintas dihadapan beliau lari lintang pukang jika bersua dengan Saidina Umar, inikan pula kita yang lemah semangat.

Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.

Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.
 
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al-Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila membaca dan mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Itulah kelebihan Surah Taha yang dibaca oleh beliau.

Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir. Dia menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa al-Rasyidun.

Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata:
"Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata: "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar"
Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?"

Jawab Rasulullah SAW: "Benar"

Aku berkata lagi: "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"

Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua syaf, satu saya dan satu lagi Saidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang KAFIR Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq! 

Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di BaitulLah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

 
 
Maksudnya:
  1. Taa. Haa.
  2. Kami tidak menurunkan A-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
  3. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut yang melanggar perintah Allah.
  4. Al-Quran diturunkan dari tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
  5. Ia-itu Allah Ar-Rahmaan,yang bersemayam diatas 'Arasy.
Bacaan Untuk Anak/Suami Yang Degil Yang Tak Mahu Solat

Baca doa ini 3 x dan dihembuskan semasa anak/suami anda sedang tidur pada hidungnya semasa ia sedang menarik nafas masuk. Lakukan sekurang-kurangnya 7 malam semasa anak /suami sedang tidur nyenyak. InshaAllah...


Thursday, April 11, 2013

Jaga 7-Sunnah-Rasulullah

"Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.



Thursday, April 4, 2013

Amalan Berdoa

Seringkali kita mendengar keluhan sesetengah orang yang mengatakan bahawa dia telah sekian lama berdoa namun tidak dikabulkan. Tahukan anda bahawa perbuatan sebegini sebenarnya adalah antara punca sesuatu doa itu tidak dikabulkan?

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa (maksudnya) :

Rasulullah SAW bersabda, "Doa seorang hamba tentu akan dimakbulkan selama mana dia tidak berdoa yang isinya mengandung...i dosa, untuk maksud memutuskan silaturrahim, atau minta segera dikabulkan". Ada seorang yang bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana yang dimaksudkan dengan meminta untuk segera dikabulkan?". Baginda menjawab, "Seseorang berkata, 'Sesungguhnya aku sudah berdoa dan berdoa, namun sehingga saat ini aku belum melihat doaku dikabulkan', sehingga saat itu juga dia merasa penat berdoa dan tidak mahu lagi berdoa". (Hadis riwayat Muslim)


Doa adalah senjata umat islam. Kita digalakkan supaya berdoa setiap hari. Doa tidak semesti hanya untuk diri kita. Kita sebenarnya boleh juga berdoa untuk orang lain, seperti keluarga, sahabat, jiran dan juga kepada sekelian umat islam yang lain. Tidak rugi kalau kita berdoa untuk orang lain kerana kebaikan doa tersebut akan turut diperoleh oleh mereka yang mendoakannya. Daripada Abu Darda' r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Setiap kali dia memanjatkan doa kebaikan untuk saudaranya, dia atas kepalanya ada seorang malaikat yang berkata, "Amin. Semoga engkau juga beroleh perkara yang sama". (Hadis riwayat Muslim)

Nabi SAW melarang umat islam daripada mendoakan keburukan kepada diri, anak-anak dan harta benda, kerana dikhuatiri doa tersebut bertepatan dengan waktu dimana doa dikabulkan. Jika berlakunya sedemikian, maka permintaan tersebut akan dikabulkan. Hadis yang menegaskan perkara ini diriwayatkan Muslim. Daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda (maksudnya):

Janganlah kamu mendoakan yang tidak baik untuk diri kamu, anak-anak kamu, dan harta kamu kerana boleh jadi doa kamu itu bertepatan dengan waktu yang mana waktu itu doa dikabulkan sehingga apa yang kamu mohonkan juga dikabulkan. (Hadis riwayat Muslim)


Sebab itu ibu bapa seboleh-bolehnya jangan memanggil anak-anak dengan panggilan-panggilan yang tidak elok. Sekiranya anak-anak melakukan sesuatu yang tidak diingini, sebaiknya panggil anak-anak dengan kata-kata seperti "Anak bertuah", "Anak soleh/solehah, mari sini...", dan sebagainya.

Begitu juga halnya dengan diri kita sendiri. Jangan sekali-kali suka mencerca diri dengan menyebutkan perkataan-perkataan seperti, "Celaka. Kalau aku tau aku takkan ....." atau perkataan seumpamanya. Kalaulah kita berkata sedemikian diwaktu mustajabnya doa, maka kecelakaan akan menimpa diri kita.

Begitu juga halnya dengan harta kita. Seringkali kita dengar perkataan-perkataan seperti "Tak guna punya kereta....", "Lembap punya PC...", "Bodoh punya handset..." dan sebagainya. Akibat daripada tidak sabar dan menahan diri daripada mengucapkan perkataan-perkataan sedemikian, maka kita mungkin terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk penjagaan harta benda kita. Walaupun benar harta kita bermasalah, kawal lah diri daripada mendoakan keburukan kepada harta kita.

Akhir kata, rajin-rajinlah berdoa dan bersabarlah kerana setiap doa itu sebenarnya suatu aset yang bernilai untuk kita di akhirat kelak. Oh ya, doakanlah saya agar dapat terus menulis dan menyumbangkan ilmu yang bermanfaat. Doakanlah juga agar semua umat islam menjadi umat yang bersatu dan kembali kepada cara hidup islam yang sebenar.

Selamat berdoa...